Sebut sahaja tebuan majoriti daripada kita akan segera memberikan reaksi cemas dan berhati-hati. Tak kira lah samada dalam keadaan biasa atau ketika beroutdoor. Langkah berhati-hati ini akan lebih ditingkatkan sekiranya ia dilihat terbang atau berlegar-legar di persekitaran kita. Mengapa tebuan ini digeruni? Teruskan membaca perkongsian ini.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Kali ni Min rasa macam tertarik pulak nak kongsikan dengan anda tentang makhluk tebuan ni. Tebuan ni walaupun kecil namun jangan dipandang rendah kemampuannya dari segi ancaman sengatannya. Kalaulah tebuan ni tak merbahaya masakan Skuadron Nombor 100 Royal Air Force UK menjadikan peribahasa melayu “Sarang tebuan jangan dijolok” sebagai motto skuadron mereka. Nampak garang dan bahaya kan?

Patch Skuadron No. 100 RAF UK

Latarbelakang Ringkas

Sebelum Min kongsikan lebih lagi tentang tebuan ni, jom kita tengok sedikit latarbelakang makhluk ni secara ringkas. Jom kita kenalinya dengan lebih dekat.

Bila kita bercerita tentang dunia haiwan, kita tak dapat lari daripada mengetahui pengelasan saintifik haiwan seperti dibawah ni:-

Alam : Haiwan

Felum : Artropoda

Kelas : Insecta

Order : Hymenoptera

Suborder : Apocrita

Keluarga : Vespidae

Subkeluarga : Vespinae

Genus : Vespa

Info-info kat atas ni adalah secara ringkas saja. Kalau anda berminat nak tau lebih lanjut boleh la buat kajian anda sendiri ye.

Daripada pengelasan saintifik ni kita ketahui bahawa tebuan ni merupakan haiwan dari cabang (felum) Antropoda iaitu haiwan yang tidak bertulang belakang (invertebrate) tetapi berkerangka luar, badan bersegmen dan memiliki anggota badan bersendi.

Tebuan juga adalah dalam order serangga bersayap dan dalam suborder Apocrita iaitu serangga yang mempunyai pinggang yang ramping yang menghubungkan bahagian abdomen dan toraksnya.

Tebuan juga adalah dalam famili Vespidae dan subfamili Vespinae dari genus Vespa. Tebuan yang paling kerap ditemui di negara kita adalah tebuan tanah (vespa tropica tropica).

Gambar ihsan Google

Habitat Tebuan

Tebuan membina sarangnya daripada tumbuh-tumbuhan yang telah dilumatkan dan kelihatan berwarna kelabu keputihan seakan-akan kertas. Tebuan hidup dalam satu koloni yang kecil dalam anggaran 20 – 30 ekor sahaja dalam satu sarang. Sarang tebuan akan dijaga oleh tebuan pekerja yang sentiasa terbang di persekitaran sarangnya.

Tebuan pada asalnya mempunyai habitat dalam belukar, semak samun dan ada kalanya di dalam tanah. Namun disebabkan faktor perubahan cuaca yang sering memberi ancaman kepada kemusnahan sarangnya maka mereka terpaksa berpindah ke lokasi yang lebih selamat dan terlindung daripada ancaman sebegini.

Maka sebab itulah kita sering dapati tebuan banyak membuat sarang di bahagian bumbung-bumbung rumah dan pokok-pokok yang tinggi, di dahan pokok yang rendang dan juga dalam semak samun tebal yang kurang terkena hujan dan juga pancaran sinaran matahari..

Peranan Tebuan Kepada Alam

Tebuan merupakan serangga pemangsa (predator) yang sering menjadikan serangga lain yang lebih kecil sebagai mangsa dan juga sumber makanan. Jika dilihat dari sudut kitaran semulajadi alam, ini merupakan satu fenomena kawalan biologi semulajadi keatas serangga perosak tanaman.

Tebuan juga merupakan ejen pendebungaan dan merupakan salah satu fungsi penting dalam proses pendebungaan (pollination) keatas pokok buah-buahan.

Selain dari menyerang serangga lain, tebuan juga suka menyerang sarang-sarang lebah atau kelulut kerana berminat kepada madu yang dihasilkan.

Bila Masanya Tebuan Menyerang manusia?

Secara fitrahnya manusia bukanlah musuh kepada tebuan. Namun dalam keadaan tertentu seperti ketika mereka atau sarang mereka diancam, maka ketika itu mereka menganggap apa jua yang menganggu dan mengancam sarang mereka adalah musuh dan mereka akan bersiap sedia untuk menyerang musuh dan melindungi sarang dan koloninya.

Mengapa Tebuan Dianggap Berbahaya?

Seperti yang Min dah ceritakan diatas, tebuan adalah serangga predator. Tebuan boleh menyerang musuhnya dengan sengatan secara berulang kali.

Ini merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Dekan Akademik, Alumni dan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr. Nur Azura Adam yang mengatakan bahawa tebuan mempunyai kelebihan untuk menyengat berkali-kali. Tidak seperti lebah yang hanya mampu menyengat mangsanya sekali sahaja sebelum serangga itu mati.

Ini adalah antara faktor yang menjadi penyebab kenapa serangan tebuan itu lebih berbahaya. Kalau seekor tebuan boleh menyengat mangsanya berkali-kali bayangkan kalau satu koloninya yang menyengat mangsanya berkali-kali. Inilah yang terjadi kepada seorang kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia setelah terkena lebih daripada 60 sengatan tebuan di Terengganu suatu ketika dulu.

Menurut Schmidt sting pain index, iaitu skala ukuran tahap kesakitan sengatan serangga, dari nombor 0 (mewakili sengatan yang tidak mengancam manusia) sehingga nombor 4 (sengatan paling menyakitkan) sengatan tebuan adalah terletak pada skala nombor 3.

Setiap kali sengatan, tebuan akan melepaskan sejenis toksin yang dipanggil sebagai mandaratoxin (MDTX). Mandaratoxin ini adalah sejenis toxin dalam kelas neurotoxin dimana venom atau bahan racun yang dilepaskan oleh tebuan ketika menyengat mangsa akan menyerang sistem saraf tubuh mangsa.

Apa yang terjadi kepada sistem saraf mangsa yang disengat tebuan? Antaranya adalah menjadikan mangsa sangat sensitif terhadap reaksi alahan keatas antigen bisa racun (alahan yang teruk keatas bisa tebuan) selepas disengat lebih dikenali sebagai Anaphylaxis. Jika ini terjadi rawatan kecemasan harus diberi kepada mangsa dengan segera.

Cara Merawat Rawatan Sengatan

“Mencegah lebih baik dari mengubati” pepatah ni membawa maksud pencegahan itu adalah langkah terbaik dalam apa jua bencana atau musibah. Sebagai penggiat aktiviti rekreasi luar (outdoor), beberapa panduan dan amalan pencegahan perlu dilakukan sebelum dan semasa beraktiviti bagi mengurangkan risiko disengat tebuan. Sebagai contoh, elakkan memasuki kawasan belukar secara tergesa-gesa tanpa mengenalpasti tahap keselamatannya, pastikan kawasan yang akan dilalui di hadapan selamat dari sebarang ancaman dan seumpamanya.

Sekiranya pencegahan telah dilakukan namun situasi ini tetap juga berlaku maka rawatan kecemasan perlulah diberikan segera berpandukan kepada simtom-simtom yang ditunjukkan mangsa. Sentiasa membawa kit pertolongan cemas dan rawatlah tempat sengatan seperti kaedah rawatan luka. Jangan lupa standby pil antihistamin sebagai persediaan awal merawat alahan ringan.

Bagi kes berkaitan anaphylaxis, tanda tanda anaphylaxis adalah seperti berikut hendaklah dipantau:

  • Bengkak pada seluruh muka, bibir dan tekak
  • Kemerahan pada kawasan badan yang tidak disengat
  • Kesukaran bernafas
  • Pening kepala
  • Tekanan darah rendah
  • Tidak sedarkan diri
  • Loya dan muntah
  • Cirit birit
  • Sakit perut
  • Nadi berdenyut laju

Jika keadaan sebegini tidak diberi rawatan segera, ia boleh mengancam nyawa. Keadaan sebegini jarang berlaku jika disengat oleh seekor tebuan. Namun sebaliknya jika disengat secara berkumpulan.

Kebiasaaannya mereka yang disengat seekor tebuan tidak menyebabkan alahan dan mengalami simtom ringan sahaja (tertakluk kepada lokasi sengatan). Jika sengatan berhampiran kawasan jantung dan di bahagian kepala rawatan kecemasan perlulah diberikan segera.

Sengatan pada bahagaian badan yang lain tidaklah membimbangkan. Pada awalnya, terdapat rasa sakit mencucuk dan panas pada tempat disengat. Kemerahan, bengkak dan rasa gatal akan muncul setelah beberapa ketika.

Namun, sebaiknya rujuklah kepada pegawai perubatan bertauliah supaya kesan sengatan tidak melarat dan menjadi lebih teruk.

Tips Untuk Mengelak Disengat Tebuan

Berikut Min kongsikan beberapa tips yang boleh dijadikan panduan apabila anda berhadapan dengan serangan tebuan:-

  1. Pastikan memakai pakaian berlengan panjang sebelum memulakan aktiviti rekreasi di hutan

2. Elakkan memakai pakaian berwarna warni yang boleh menarik perhatian tebuan

3. Elakkan memakai bau-bauan atau minyak wangi

4.Jangan mengibas-ngibas baju atau kain untuk mengelak serangan kerana ini akan lebih menarik perhatian tebuan untuk menyerang.

5. Sekiranya ada flysheet, ground sheet, plastik sampah yang tebal dan besar atau sleeping bag, selubungkan keseluruhan diri anda didalamnya dengan kemas dan tunggu sehingga serangga tersebut beredar.

Sebagai kesimpulan, sekiranya anda bertemu dengan tebuan ketika sedang beraktiviti sebaik-baiknya elakkan diri dari mengganggu atau memusnahkan sarangnya. Maklumkan kepada semua rakan-rakan tentang kewujudann sarangnya supaya semua rakan-rakan anda dapat berhati-hati dan terhindar daripada serangan tebuan.

Diharapkan dengan perkongsian ni dapat menambah lagi info anda terutama lberkaitan topik diutarakan. Pandangan dan komen positif anda amat dialu-alukan untuk menambah baik kandungan perkongsian ini. Semoga bermanfaat buat semua insyaallah… Min mohon berundir seketika…